Kamis, 10 Mei 2012

KETEGUHAN BENTENG TAKDIR



KEKUATAN SEMANGAT (AZAM, CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA MEMECAHKAN BENTENG
TAKDIR.

Kalam Hikmat yang pertama menyentuh tentang hakikat amal yang membawa kepada
pengertian tentang amal zahir dan amal batin. Ia mengajak kita memerhatikan amal
batin (suasana hati) berhubung dengan amal zahir yang kita lakukan. Sebagai
manusia biasa hati kita cenderung untuk menaruh harapan dan meletakkan
pergantungan kepada keberkesanan amal zahir. Hikmat kedua memperjelaskan
mengenainya dengan membuka pandangan kita kepada suasana asbab dan tajrid.
Bersandar kepada amal terjadi kerana seseorang itu melihat kepada keberkesanan
sebab dalam melahirkan akibat. Apabila terlepas daripada waham sebab musabab
baharulah seseorang itu masuk kepada suasana tajrid.

Dua Hikmat yang lalu telah memberi pendidikan yang halus kepada jiwa. Seseorang
itu mendapat kefahaman bahawa bersandar kepada amal bukanlah jalannya.
Pengertian yang demikian melahirkan kecenderungan untuk menyerah bulat-bulat
kepada Allah s.w.t. Sikap menyerah tanpa persediaan kerohanian boleh
menggoncangkan iman. Agar orang yang sedang meninggi semangatnya tidak terkeliru
memilih jalan, dia diberi pengertian mengenai kedudukan asbab dan tajrid.
Pemahaman tentang makam asbab dan tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar
menyerah kepada Allah s.w.t dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah
dengan cara yang melulu.

Hikmat ke tiga ini pula mengajak kita merenung kepada kekuatan benteng takdir
yang memagar segala sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli tajrid, kita
dapati ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan keberkesanan
kepada sesuatu sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini bermakna
semua kejadian dan segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di dalam
pentadbiran Allah s.w.t. Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap
makhluk-Nya. Urusan ketuhanan yang menguasai, mengatur dan mengurus atau suasana
pentadbiran Allah s.w.t itu dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak
dikuasai, diatur dan diurus oleh Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang
tidak termasuk di dalam takdir.

Manusia terhijab daripada memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab.
Kedirian seseorang menjadi alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab
pandangan hati daripada melihat kepada takdir. Keinginan, cita-cita, angan-angan,
semangat, akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada melihat kepada kekuasaan,
aturan dan urusan Tuhan. Hijab kedirian itu jika disimpulkan ia boleh dilihat
sebagai hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang melahirkan keinginan, cita-cita,
angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera nafsu, menimbang, merancang dan
mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu
inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak kepada kebaikan itu. Jika nafsu
inginkan sesuatu yang buruk, akal itu juga yang bergerak kepada keburukan. Dalam
banyak perkara akal tunduk kepada arahan nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu.
Oleh sebab itulah di dalam menundukkan nafsu tidak boleh meminta pertolongan
akal.

Dalam proses memperolehi penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t
terlebih dahulu akal dan nafsu perlu ditundukkan kepada kekuatan takdir. Akal
mesti mengakui kelemahannya di dalam membuka simpulan takdir. Nafsu mesti
menerima hakikat kelemahan akal dalam perkara tersebut dan ikut tunduk bersama-samanya.
Bila nafsu dan akal sudah tunduk baharulah hati boleh beriman dengan sebenarnya
kepada takdir.

Beriman kepada takdir seharusnya melahirkan penyerahan secara berpengetahuan
bukan menyerah kepada kejahilan. Orang yang jahil tentang hukum dan perjalanan
takdir tidak dapat berserah diri dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t kerana
disebalik kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan akal untuk menimbulkan
keraguan terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan hakikat takdir itu
masih terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia masih melihat bahawa
makhluk boleh mendatangkan kesan kepada kehidupannya. Tindakan orang lain dan
kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang demikian menyebabkan dia
tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri kepada Tuhan. Sekiranya dia
memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan dalam perkara takdir tentu dia dapat
bertahan dengan iman. Hadis menceritakan tentang takdir:

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, ?Wahai Rasulullah, apakah iman??
Jawab Rasulullah s.a.w, ?Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya,
Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga engkau beriman dengan
Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah dari Allah s.w.t?. {
Maksud Hadis }

Pandangan kita sering keliru dalam memandang kepada takdir yang berlaku. Kita
dikelirukan oleh istilah-istilah yang biasa kita dengar Kita cenderung untuk
merasakan seolah-olah Allah s.w.t hanya menentukan yang asas sahaja sementara
yang halus-halus ditentukan-Nya kemudian iaitu seolah-olah Dia Melihat dan
Mengkaji perkara yang berbangkit baharulah Dia membuat keputusan. Kita merasakan
apabila kita berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah perkara dasar
yang telah Allah s.w.t tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita itu dan
bersimpati dengan kita lalu Dia pun membuat ketentuan baharu supaya terlaksana
takdir baharu yang sesuai dengan perjuangan kita. Kita merasakan kehendak dan
tadbir kita berada di hadapan sementara Kehendak dan Tadbir Allah s.w.t mengikut
di belakang. Anggapan dan perasaan yang demikian boleh membawa kepada kesesatan
dan kederhakaan yang besar kerana kita meletakkan diri kita pada taraf Tuhan dan
Tuhan pula kita letakkan pada taraf hamba yang menurut telunjuk kita. Bagi
menjauhkan diri daripada kesesatan dan kederhakaan yang besar itu kita perlu
sangat memahami soal sunnatullah atau ketentuan Allah s.w.t. Segala kejadian
berlaku menurut ketentuan dan pentadbiran Allah s.w.t. Tidak ada yang berlaku
secara kebetulan. Ilmu Allah s.w.t meliputi yang awal dan yang akhir, yang azali
dan yang abadi. Apa yang dizahirkan dan apa yang terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan
tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan
Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah
bagi Allah. (Ayat 22 : Surah al-Hadiid)

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia
dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; - ( Ayat 1 :
Surah al-Mulk )

Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah
petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 3 : Surah al-A?laa)

Dan Kami jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu
bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah
ditetapkan. ( Ayat 12 : Surah al-Qamar )

Segala perkara, tidak kira apa istilah yang digunakan, adalah termasuk dalam
ketentuan Allah s.w.t. Apa yang kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar, doa,
kekeramatan, mukjizat dan lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t. Pagar
takdir mengelilingi segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang mampu
menembusi benteng takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan ikhtiar
melainkan perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir. Tidak
berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir untuknya yang
sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang didoakan juga tidak
lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku kekeramatan dan
mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir yang tidak
menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu nafas atau
berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan urusan Allah
s.w.t pada azali.


Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali.

Segala perkara datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan ketentuan
tanpa campurtangan sesiapa pun. Segala perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah
yang mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapa pun mampu menyekat
urusan-Nya.

Apabila sudah difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya
adalah takdir yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi
berasa bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan berserah
diri sama-sama berada di dalam pagar takdir. Jika seseorang menyedari makamnya
sama ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya.
Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa
juga hasil yang muncul dari usahanya diterimanya dengan senang hati kerana dia
tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh Allah s.w.t. Jika hasilnya
baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari Allah
s.w.t. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia mendapat
kebaikan. Jika hasil yang buruk pula sampai kepadanya dia akan bersabar kerana
dia tahu apa yang datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan Allah bukan
tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya. Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan
seleranya datang kepadanya tetapi usaha baik yang dilakukannya tetap diberi
pahala dan keberkatan oleh Allah s.w.t sekiranya dia bersabar dan rela dengan
apa juga takdir yang sampai kepadanya itu.

Ahli tajrid pula hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin
dengan jaminan Allah s.w.t. Dia tidak harus merungut jika terjadi kekurangan
pada rezekinya atau kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir
yang sesuai dengan apa yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya
adalah juga ketentuan Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka
ia juga masih lagi di dalam pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t.
Begitu juga jika terjadi keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus
melihat itu sebagai takdir yang menjadi bahagiannya.

Persoalan takdir berkait rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa
pandangan daripada yang banyak kepada yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih
kacang. Setelah ditanam benih yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna,
mengeluarkan beberapa banyak buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula
benih untuk menumbuhkan pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya
sehingga kacang yang bermula dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang.
Kacang yang sejuta tidak ada bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang
yang pertama itu bukan sahaja berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang,
malah ia mampu mengeluarkan semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya
boleh mengeluarkan kacang, tidak benda lain.

Kajian akal boleh memperakui bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu
zat kacang. Zat kacang pada benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke
satu juta malah ia adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu
itulah ?bergerak? pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang,
tidak menjadi benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal
pertumbuhan kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana
kacang. Ia tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak
berpisah dengan mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang.
Zat kacang ini dinamakan ?Hakikat Kacang?. Ia adalah suasana ketuhanan yang
mentadbir dan mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga
kesudahan, sampai ke hari kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran
Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja yang
dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.

Suasana pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan
manusia pula dinamakan ?Hakikat Manusia? atau ?Hakikat Insan?. Allah s.w.t telah
menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada
pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan
untuk melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan
tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat Manusia.

Pada Hakikat Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan
hubungkaitnya dengan segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang
berhakikatkan ?Hakikat Nabi? pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang
berhakikatkan ?Hakikat Wali? pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah
s.w.t atau hakikat itu menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja
mempamerkan segala maklumat yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh
adalah menjalankan urusan Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada
sisi Allah s.w.t.


Dan katakan: ? Roh itu dari perkara urusan Tuhanku?. ( Ayat 85 : Surah Al-Israa?
)

Pentadbiran Allah s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan
ketentuan-Nya yang berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat
sesuatu sejak azali lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala
sesuatu dikawal oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh
meminta menjadi kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia
tidak boleh meminta menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh
Allah s.w.t.

TAJUK 4
KANDUNGAN
SYARAH AL-HIKAM



Tidak ada komentar:

Posting Komentar